Aspek-Aspek Shiva Mahadeva

Secara ikon, Shiva sering digambarkan dalam pelbagai aspek-aspek berlainan. Aspek-aspek ini boleh dikelaskan secara umumnya seperti berikut:      

Saumya atau Anugrahamurti

Rupa-rupa Shiva yang tenang dan yang mencurahkan kasih sayang dan rahmat tergolong di bawah kumpulan Anugrahamurti. Misalnya rupa-rupa Shiva yang memberkati atau mencurahkan rahmat ke atas Candesa, Nandisvara, Vighnesvara atau Ravana.

Ugra, Raudra atau Samharamurti

Semua rupa-rupa yang menakutkan, boleh dikumpulkan di bawah aspek Samharamurti.

  • Kankala Bhairava merupakan aspek Shiva yang memotong kepala kelima Brahma kerana mempersendakannya. Atas dosa itu, Shiva terpaksa menjalani kehidupan sebagai pengemis selama dua belas tahun.
  • Gajasuravadhamurti menghapuskan raksasa Nila (seorang teman Andhakasura) yang telah mengambil rupa seekor gajah.
  • Tripurantakamurti ialah Shiva yang menggunakan anak panah-Nya untuk memusnahkan kota-kota besi, perak dan emas yang dibina di bumi, di angkasa dan di syurga oleh tiga orang anak Andhakasura. Disebabkan tiga kota-kota ini, Andhakasura telah menjadi kebal.
  • Sarabhesamurti menggambarkan Shiva sebagai seekor Sarabha (suatu binatang mitos yang lebih buas daripada singa) yang menghapuskan rupa Narasimha Vishnu. Kemungkinan ini suatu cerita rekaan penganut mazhab Shaivisme untuk menunjukkan keagungan Shiva berbanding Vishnu!
  • Kalarimurti menunjukkan Shiva mengalahkan Yama, Dewa Kematian, yang ingin mengambil nyawa Markandeya, seorang pemuja Shiva.
  • Kamantakamurti menunjukkan Shiva yang memusnahkan Kama, Dewa Cinta, dengan mata api dari ketiga-Nya.
  • Andhakasuravadhamurti ialah Shiva yang menumpaskan Andhakasura, dan kemudiannya atas rayuan Andhakasura, melantiknya sebagai ketua golongan Gana (orang suruhan kerdil). Andhaka menjadi Bhrngisa.

Nrtta atau Tandavamurti

Shiva ialah seorang Raja tarian yang telah menghasilkan 108 gaya tarian. Shiva dikatakan menari setiap petang untuk mengurangkan penderitaan semua hidupan dan untuk menghiburkan para dewa-dewi yang bersidang di Kailasa. Maka, Shiva mendapat nama Sabhapati (Raja persidangan).

Rupa Nataraja ialah gaya tarian Shiva yang paling popular. Nataraja mempunyai empat tangan, dua kaki, dan gaya menari. Tangan kanan-Nya yang di atas memegang sebuah damaru (gendang) dan tangan kiri memegang api. Tangan kanan di bawah pula menunjukkan abhayamudra (simbol perlindungan) dan tangan kiri yang menunding ke bawah ke arah kaki kiri. Kaki kiri-Nya berada di atas raksasa Apasmarapurusha. Kadang-kadang suatu lilitan api mengelilingi ikon ini.

Beberapa rupa Shiva dalam gaya menari diberikan dalam beberapa Agamas seperti Ananda Tandavamurti, Uma Tandavamurti, Tripura Tandavamurti, dan Urdhva-Tandavamurti.

Dakshinamurti

Shiva juga merupakan raja segala yoga dan sains kerohanian. Sebagai Guru Sejagat, Shiva dikenali sebagai Dakshinamurti. Semasa mengajar para Rishi di Himalaya, Shiva sedang duduk menghadap arah selatan (Dakshina). Dakshinamurti mempunyai tiga mata dan empat tangan. Salah satu kaki-Nya berehat di atas Apasmarapurusha. Tangan kanan dan tangan kiri di hadapan menunjukkan simbol jnanamudra dan varadamudra (bermaksud pemberikan ilmu dan rahmat) Tangan-tangan di belakang pula sedang memegang aksamala (kalungan tasbih) dan, sama ada api atau ular. Dakshinamurti ialah Guru yang Ideal. Beberapa orang Rishi mengelilingi-Nya untuk menuntut ilmu kerohanian.

Lingodbhavamurti

Bagi menghapuskan ego Brahma dan Vishnu, Shiva muncul sebagai suatu tiang api yang tiada kesudahan. Rupa Lingodbhavamurti muncul di pusat Linga dan mempunyai empat tangan. Brahma dan Vishnu, berdiri di kedua-dua sisi-Nya dan memuja-Nya.

Ardhanarisvaramurti

Ini ialah rupa separuh lelaki dan separuh perempuan atau gabungan Shiva dan Parvati. Rupa ini menunjukkan keadaan dunia ini di mana lelaki dan perempuan harus dilihat sebagai saling bergantung dan sama rata.

Rupa-rupa lain dan Avatara Shiva

Bhikshatanamurti - Ini ialah rupa Shiva sebagai seorang Bhairava yang bogel, yang mengemis makanan dengan sebuah mangkuk tengkorak. Rupa ini hampir serupa dengan rupa Kankalamurti.

Haryardhamurti (juga dikenali sebagai Harihara dan Sankaranarayana) ialah rupa separuh Shiva dan separuh Vishnu. Gabungan dua Dewa ini nampaknya suatu percubaan untuk menyatukan golongan Shaivisme dan Vaishnavisme yang berselisih antara satu sama lain.

Sama seperti dewa-dewa Hindu yang lain, Shiva juga dikatakan mempunyai beberapa Jelmaan atau Avatara. Meskipun beberapa Purana menyebut tentang Avatara Shiva, namun idea ini tidak diterima oleh mazhab Saivisme. Misalnya, menurut Linga Purana, terdapat dua puluh lapan rupa Shiva yang kadang-kadang disebut sebagai Avatara. Menurut Svetasvatara Upanishad, Shiva telah mengambil empat Avatara.

Dalam Hanuman Chalisa, Hanuman disebut sebagai Jelmaan ketujuh Shiva dan kepercayaan ini diterima secara sejagat. Hanuman juga dikenali sebagai 'Rudra Avatar'.

Menurut tradisi Vedanta, Adi Sankaracharya dipercayai sebagai Jelmaan Shiva. Durvasa dan Ashwatthama (karakter dalam Mahabharata) juga dipercayai sebagai Jelmaan Shiva.